TANGGA BATU: Pusat Khidmat Parlimen Tangga Batu menjadi kawasan parlimen di Melaka yang dipilih oleh National Cancer Society Malaysia (NCSM) untuk menjalankan program vaksin Human Papillomavirus (HPV).

Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, kawasan itu dipilih disebabkan ia telah mengadakan kerjasama yang baik dengan persatuan tersebut sejak sekian lama.

“Melaka terdiri daripada enam kawasan Parlimen. Kita (Parlimen Tangga Batu) menurut mereka (NCSM) antara parlimen yang pertama mengadakan hubungan dengan persatuan ini dalam usaha kita membantu rakyat untuk mendapatkan vaksin HPV percuma,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Seramai tujuh orang sukarelawan NCSM termasuk seorang doktor perubatan terlibat dalam program tersebut yang berlangsung di Pusat Khidmat Parlimen Tangga Batu, di Tanjung Minyak Perdana, di sini, hari ini.